Kerajaan Terengganu Isytihar Berkabung 40 Hari

Category:

Reactions: 


Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda
Semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri serta persekutuan dan badan-badan berkanun di Terengganu diminta mengikuti peraturan perkabungan sebagai tanda berdukacita atas kemangkatan Tengku Ampuan Intan Zaharah Almarhum Tengku Setia Raja.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda berkata, dalam tempoh perkabungan 40 hari bermula hari ini hingga 4 Mac itu, pegawai dan kakitangan lelaki Melayu diminta memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci bagi menghormati perkabungan itu.

“Manakala peraturan pemakaian bagi kakitangan wanita Melayu pula berselindang atau berkain tudung berwarna putih,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.

Osman berkata, bagi pegawai dan kakitangan bangsa lain, mereka dikehendaki bertali leher hitam atau lilitan lengan hitam di sebelah kanan (bagi lelaki) dan lilitan lengan hitam bagi wanita.

Katanya, polis dan tentera pula dikehendaki menurut cara pemakaian yang telah ditetapkan oleh peraturan pakaian jabatan masing-masing.

“Kita juga harap orang ramai di Terengganu turut sama berkabung dengan memakai songkok berlilit kain putih bagi lelaki Melayu dan lilitan lengan hitam bagi bukan Melayu,” katanya.

Osman berkata, segala perhimpunan ramai dan majlis-majlis atau acara-acara anjuran kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan adalah dilarang diadakan di seluruh negeri Terengganu dalam tempoh itu.

Bagaimanapun, katanya majlis atau acara yang berunsurkan keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah adalah dibenarkan.

“Bendera juga hendaklah dikibarkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan atau separuh kerajaan, bangunan perniagaan dan kediaman di Terengganu,” ujarnya.

Sementara itu, Osman berkata, jenazah almarhum akan tiba kira-kira pukul 10 pagi esok di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan dibawa ke Istana Maziah.

“Bagi rakyat jelata, waktu melawat adalah bermula pukul 11 pagi sehingga 12 tengah hari manakala bagi orang kenamaan,ia bermula 12 tengah hari sehingga 1 petang.

“Solat jenazah akan dilakukan selepas Solat Zuhur dan almarhum akan dikebumikan di Makam DiRaja Masjid Abidin,” jelas beliau.

Bagi yang ingin menziarahi katanya, pakaian untuk lelaki muslim hendaklah berbaju melayu hitam, samping hitam kosong dan songkok hitam dililitkan dengan riben putih (1 inci) manakala bagi yang bukan muslim bersuit hitam dan riben putih dililitkan di sebelah kanan lengan baju.

“Bagi wanita pula hendaklah berpakaian baju kurung dan tudung berwarna hitam,” katanya.

Sumber :-  TeganuKita

Comments (0)

Post a Comment